Januari 01, 2022

Muka Surat 365

Kehidupan umpama buku

Pelbagai kisah tertulis di dalamnya

Dari satu bab ke bab yang lain

Satu per satu helaian muka surat ditulis

Kini tiba di muka surat terakhir

Maka tamatlah jilid kehidupan ini


Bersambung pula dengan kisah baharu

Buku baru dibuka dan bait-bait kata ditulis 

Bermulalah jilid kehidupan yang baru

Muka surat 1 daripada 365:

‘Bismillahirrahmanirrahim! Semoga kisah kebahagiaan memenuhi jilid ini.’




Pena: Rama-rama Biru

31.12.2021

Julai 23, 2021

Sakit

Penyakit ada di merata-rata
Pelbagai jenis dan juga rupa

Menyerang tidak mengira sesiapa

Yang tua dan muda pasti akan merasa

Kerna kita hamba yang tidak berdaya


Usah merungut atau berduka

Karna ia suatu ujian sahaja

Peringatan dari Sang Pencipta

Bahawa Dia sayangkan kita

Ia hadir untuk menyucikan jiwa


Pena: Rama-rama Biru

23.7.21

Julai 20, 2021

Kitaran Rasa

Ketika aku asyik bermain cahaya, sedikit-sedikit mentari itu mulai letih, dia lalu berbisik mengatakan bulan itu adalah sahabatnya, tapi mereka tidak pernah bertemu, bahkan saat bulan itu hadir, aku tidak lagi bisa menikmati hangatnya mentari

Ketika hujan memberikanku air mata, sekali sekala ia merobek jiwa ini sehingga luka, lalu ia katakan pelangi itu adalah saudaranya, tapi mereka tidak pernah bersapa, lalu saat pelangi itu muncul, irama hujan itu terhenti, jiwaku tidak lagi merasai luka yang dirobek tadi.

Pena: Kupu-kupu Kelabu
0112
200721

Mei 16, 2021

Komedi vs Tragedi

Di kala siang, ku sarung topeng komedi

Tersenyum melihat lagat dunia

Melewati hari hingga matahari tenggelam


Pabila kegelapan, muncullah topeng tragedi

Menzahirkan kondisi hatiku yang sebenarnya

Terperangkap di dalam cakera memori silam


Bukan niat bersandiwara kepada insani

Tetapi enggan mereka bertanya-tanya

Menjelaskan tidak akan membuatkan mereka faham


Sendiri aku cuba bangkit lagi

Percaya akan ketentuan-Nya

Meluahkan hanya kepada Pencipta Alam


Pena: Rama-rama Biru

16.05.2021

00:35








April 30, 2021

Senja Berlabuh

Pabila fajar menyingsing

Mentari terbit menerangi alam

Petanda bermulanya hari baru

Penghuni bumi mulai bangkit

Keluar menuai hasil keringat

Bagi mengisi tempayan didapur


Pabila senja berlabuh

Mentari mula mengundurkan diri

Petanda hari menjejak penutup

Pencari rezeki pulang membawa hasil

Ada memikul bekalan yang banyak

Ada menjinjing bekalan yang sedikit


Begitulah perjalanan kita sebagai penghuni dunia

Ketika hayat dikandung badan, perbanyakkanlah ibadah kepadaNya,

Mengumpul bekal untuk alam baka

Bekal yang bakal dihitung menjadi kunci dua pintu

Usah terbuai diulit mimpi di alam fana

Kerana persinggahan terakhir adalah di alam sana



Pena: Rama-rama Biru

30.04.2021

00:35

April 29, 2021

Gerhana

Di satu ufuk yang berwajah seri, ada satu garis yang memisahkan lautan dan daratan, dikala ombak bersiul santai, bermain bersama angin meniup damai

Di masa garis itu mula menghilang, bayu laut membawa pergi embun, lalu berganti dengan  keringat yang memecah penat, sambil tersenyum kau berdiri tegak

Lalu masa tetap berjalan, sinar terang tetap juga memenuhi setiap dimensi hidup, sesekali pelangi mewarnai hari, sambil berbisik pada hujan, agar mentari jadi kedinginan

Lalu dalam kecantikan pelangi, singgah sebentar gerhana yang terluka, pacarnya dikata curang, ditengah langit terbentang luas, maka gerhana disuruh pulang

Terus saja senja bertandang, walau tidak langsung ia diundang, gerhana hitam telahpun hilang, lalu bersua juga malam dan siang, di kaki ufuk ia tenggelam


Pena: Kupu-kupu Kelabu


April 24, 2021

Sang Pengemis Hati

Berbagai kata telah diungkap,
Namun dibiar tidak didengari
Kata dicoret tulus dari hati,
Namun dianggap omongan kosong
Bukan sukar untuk difahami,
Namun ditafsir tiada beerti

Berbagai cara telah dizahirkan,
Sekadar dilihat sebagai bayang 
Ekspresi ditonjol melambangkan hati,
Sekadar dipandang tanpa diendah
Cara yang nyata dan juga tersirat,
Sekadar dibalas dengan jenaka

Mungkin inilah nasib sang pengemis hati
Tidak didengari, tidak dipandang
Sudah tiba masa kembali kepompong
Menyepi bersama masa berlalu
Memohon kepada Yang Maha Mendengar
Biarkan takdir-Nya menjawab hati ini


Pena: Rama-rama Biru
24.04.2021 @ 10:50 pm

Muka Surat 365

Kehidupan umpama buku Pelbagai kisah tertulis di dalamnya Dari satu bab ke bab yang lain Satu per satu helaian muka surat ditulis Kini tiba ...