April 12, 2021

Selamat Datang Ramadan

Ketika kau tiada, jarum jarum waktu tetap saja berputar, senja dan fajar masih juga saling bergantian, ada pula sebilangan harinya sendu dan kelabu, ada pula sebahagiannya cerah dan meriah sepertinya sedang berpesta, namun kau masih juga tiada,

Masih kupegang janji mu dahulu, kau kata akan menjelma ketika rindu mula menyingkap di jendela waktu, namamu seringkali diratibkan oleh sahabat sahabatku bahkan hampir seluruh batang tubuh manusia berkata tentangmu

Aku kadangkala keliru, apakah aku benar benar rindu atau itu hanya sandiwaraku? ketika beberapa purnama telah berlalu, cakrawala biru bersalin kelabu, mendung dan dingin tak dapat ku bendung, sekadar mampu kubiarkan hujan mengalir syahdu

Dalam rintik rintik gerimis itu, kau mengotakan janji dahulu, sewaktu bumi sedang bernafas baru, kau kembali mengetuk dedaun pintu, kau bawa bersama azimat dari Tuhanmu, lantas kehadiranmu membuat senandungku bernada merdu, moga dengan persinggahanmu ini dapat kutemui cinta dan rindu itu, Ahlan wasahlan  Yaa Ramadan.

Pena: Kupu-kupu Kelabu
1 Ramadan 1441 H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Muka Surat 365

Kehidupan umpama buku Pelbagai kisah tertulis di dalamnya Dari satu bab ke bab yang lain Satu per satu helaian muka surat ditulis Kini tiba ...